Airmata Terakhir

Airmata Terakhir
"Hidupkan hati dengan ilmu...........Suburkan iman dengan amal"

Sunday, June 19, 2011

gambar hiasan  
         Pertemuan Mohd Din dengan Halimah Teh sejak 33 tahun yang lalu telah berakhir dengan sebuah perkahwinan yang kekal sehingga kini. Kasih sayang antara mereka telah melahirkan dua belas orang cahaya mata,enam lelaki dan enam perempuan.

         Mohd Din adalah seorang guru yang bertugas di salah sebuah Maktab Rendah Sains Mara. Beliau mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di sebuah university di Baghdad. Kesungguhannya dalam menuntut ilmu telah membangkitkan semangat Mek Jah, ibunya dan juga orang kampung untuk mengumpul dana bagi menyambung pelajaran ke luar negara. 

      Walaupun beliau telah ditaja oleh kerajaan Malaysia, persediaan sebelum ke luar negara adalah ditanggung sendiri oleh beliau dan ahli keluarga. Orang kampung turut bersemangat untuk membantu kerana sangat senang dengan sifat mahmudah yang ditonjolkan beliau dan dia juga adalah satu-satunya anak kampung yang belajar di luar negara ketika itu.. Begitu besar harapan keluarga dan orang kampung padanya dan juga kepercayaan itu telah terbalas kerana beliau telah pulang dengan segulung ijazah sebagai salah seorang pelajar cemerlang  di kampusnya. Itulah kebanggaan yang menjadi idola kepada anak-anak beliau yang turut menurut jejak beliau sehingga kini.

       Mohd Din atau Soleh,gelaran yang diberikan oleh neneknya itu telah membuktikan beliau menjalankan tugasnya sebagai seorang suami yang penyabar walaupun pelbagai rintangan dilalui sepanjang hubungannya dengan isteri. Isteri beliau adalah muallaf keturunan cina Perak. Pertemuan mereka berlangsung ketika beliau bertugas sebagai pendakwah di Pusat Islam. Demi agama Islam tercinta beliau telah mengahwini isterinya,Halimah Teh Abdullah pada usianya yang agak lewat juga ketika itu. Perbezaan umur beliau  sejarak 12 tahun itu tidak mendatangkan apa-apa masalah, bahkan rezekinya kian bertambah tahun demi tahun.

       Perkhidmatan beliau sebagai seorang guru berakhir pada tahun 2002 yang lalu. Pengembaraan  yang cukup lama bagi membesarkan anak-anak sehingga mereka semua berjaya. Hasil didikan yang bagus dari seorang ayah yang cukup tegas,akhirnya  tiga orang anaknya,Hafidzah,Nur Madihah dan Abdul Rahman turut menyandang tugas yang sama sebagai pendidik anak bangsa. Lima daripada anak beliau telah berumahtangga dan dikurniakan lapan orang cucu. Manakala tiga anaknya lagi masih belajar di peringkat universiti dan dua di sekolah menengah. Nur Salihah belajar di Universiti Malaysia Pahang,manakala Maryam di University Al Azhar dan Abdul Rahim di Mu'tah University,Jordan. Ubaidul Malik dan Ubaidul Hafidz masing-masing belajar di sekolah menengah harian,SEMKO dan SMKIF.

      
          Setelah bersara sebagai guru,Mohd Din atau dikenali sebagai Ustaz Din telah menceburkan diri dalam bidang perubatan menggunakan ayat-ayat al Quran dan doa-doa mustajab. Pelbagai jenis penyakit telah berjaya diubati dengan izin Allah Taala. Di samping itu juga beliau sangat sibuk dengan hobinya berkebun dan menangkap ikan. Setiap pagi dan petang beliau akan berada di kebun. Kini anak-anak dan cucu-cucu beliau berpeluang menikmati tanaman datuknya yang terdiri dari pelbagai buah-buahan dan sayuran. 


          Sikap rajin dan kreatif beliau patut dijejak oleh sesiapa yang bergelar suami dan bapa mithali. Beliau tidak pernah putus asa mencipta pelbagai resepi masakan dan ubatan. Contohnya kepandaian beliau dalam bidang masakan terserlah dengan pembuatan roti canai,mutabak,budu,ma'jun,serbuk kopi dan lain-lain lagi.Bahkan rumah yang didiami pun dibina atas usaha beliau sendiri bersama bantuan anak-anaknya. Begitulah sedikit kisah hidup tentang seorang bapa mithali.